|
|
|
|
|
|
![]() |
![]() |
|||
![]() |
||||
|
|
||||
“Yang, mengapa termenung jauh ni. Tak sihat ke?” Pertanyaan dari Abang Yus mengejutkanku dari lamunan. Aku tidak sedar diriku diperhati oleh suami tercinta. Itulah panggilan manjanya terhadapku walaupun sudah lapan tahun kami berumahtangga. Ramai yang iri terhadap hubungan mesra di antara kami. Percaya atau tidak; selama lapan tahun aku membina mahligai bersama abang Yus, kami jarang sekali berselisihan faham. Pepatah ‘sedangkan lidah lagi tergigit, ini kan pula suami isteri’ dan ‘perbalahan dalam rumahtangga tidak dapat dielakkan, ia merupakan asam garam yang harus ditempuhi, mungkin sebagai syarat kerukunan rumahtangga seterusnya’ hampir tidak wujud dalam kamus rumahtangga kami. Inilah keistemewaan mahligai kami. Aku amat bersyukur kepadaNYA. Kalaupun ada perselishan faham, ia hanya merupakan perkara yang remeh-temeh sahaja. Yang pasti, kami akan berbaik semula selang beberapa jam kemudian. Bertuah sungguh aku mendapat suami yang amat baik hati dan penyayang. Walaupun kami berumahtangga atas pilihan orang tua, kami benar-benar bahagia. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran puteri sulung kami, Yusrita - gambungan nama kami berdua. “Ita cari Tompok.” Aku memberi alasan secara spontan agar Abang Yus tidak runsing memikirkan
tentang diriku. Sememangnya sejak pagi tadi Tompok tidak kelihatan. Biasanya
ia akan bersama kami sewaktu sarapan begini. Tompok merupakan kucing kesayangan
kami sekeluarga. Lebih-lebih lagi bagi Yusrita, puteri kami yang sudahpun
melangkah ke darjah satu. Malah, Tompok tidur sekatil dengan Yusrita.
Tompok dijumpai Yusrita merayau-rayau di sebuah taman permainan, kira-kira
empat tahun yang lalu. Anak manja kami itu sungguh-sungguh ingin memelihara
Tompok. Ayahnya yang tidak begitu gemar terhadap binatang, pada mulanya
melarang keras permintaan Yusrita. Akan tetapi, hati siapa yang tidak
remuk redam dirayu terus dengan tangisan nakal Yusrita? Akhirnya suamiku
mengalah. Hari ini, Tompok telahpun menjadi sebahagian dari kami. Ke mana
sahaja kami pergi, Tompok pasti akan bersama. Suamiku sendiri telahpun
begitu sayangkan Tompok. Dialah yang telah menamakan kucing buangan itu. Sengaja aku ketengahkan kisah kehilangan Tompok supaya suamiku tidak tertanya-tanya keresahan yang mungkin terpancar pada wajahku. Namun di sudut hati ini, aku tahu bukan misteri kehilangan Tompok yang aku bimbangkan tetapi... Biasanya aku dapat mengongsi apa sahaja masalah yang aku alami tetapi
pagi itu aku agak keberatan. Bukan. Bukan aku tidak lagi mempercayai suamiku
tetapi sebenarnya aku sendiri tidak pasti apa yang mengganggu fikiranku.
Kerungsingan mencengkam perasaan sejurus aku bangkit dari tidur seawal
lima pagi tadi. Segala kerja rumah yang ku lakukan pagi itu turut terjejas,
ada sahaja yang tidak kena. Apakah puncanya? Aku hanya menganggukkan kepala. Di meja makan pagi itu amat janggal sekali. Biasanya aku gemar bergurau senda pada waktu pagi sebagai ‘bekal’ suamiku mengharungi waktu pejabatnya sepanjang hari. Namun pagi itu, aku seperti ketandusan idea. Aku pasti suami yang amat prihatin perasankan keadaan ku tetapi sengaja membisu, tidak mahu menggangguku. Mungkin dia memberiku ruang untuk berfikir dahulu. Abang Yus tahu aku pasti akan membentangkan apa jua masalah yang aku hadapi kepadanya apabila aku telah bersedia kelak. Itulah prinsipnya. Dia tidak pernah memaksa atau mendesak ku. Abang Yus, kaulah orang yang paling istemewa dalam hidup ku! Tepat jam sembilan sepuluh minit pagi, abang Yus mula melangkah keluar, menuju ke kereta jenis Protonsaga berwarna merah. Seperti biasa di ruang tamu, sambil dia mencapai tas kerjanya dari peganganku, aku mencium tangannya. Abang Yus pula akan mengucup dahiku dan sama-sama akan bertukar senyuman dengan penuh mesra. “Yang, jangan risau sangat tau. Tidak baik untuk kesihatan. Petang ini, Yang buatkan musbak daging ya,” pesannya manja. Entah mengapa perhatianku masih belum dapat aku pusatkan kepada suami tercinta. Tersentak aku dengan permintaan akan makanan ringan kegemaran kami sekeluarga. Aku segera mengangguk-anggukkan kepalaku. Hatiku benar-benar berat melepaskan suamiku pergi kerja pagi itu. Kebimbangan ku yang tidak berasas langsung telah membuat ku meminta abang Yus agar pulang awal hari itu. “Kenapa ini. Ada yang tidak kena, ke?” Tanya Abang Yus. Inilah kali pertama aku meminta dia supaya pulang awal sedangkan aku
tahu abang Yus ku seorang yang cukup bertanggungjawab terhadap keluarganya.
Dia pasti akan terus pulang ke rumah selepas waktu pejabat, kalau tidak
diminta bekerja lembur. Abang Yus sendiri yang memberi pengakuan. Dia
lebih gemar meluangkan masa bersama anak dan isteri daripada bersembang-sembang
di luar atau saja berfoya-foya dengan kawan-kawan yang di antaranya lebih
suka melanggani coffeehouse atau karaoke lounge. Abang Yus agak kehairanan
di atas permintaan ku tetapi dengan segera berjanji akan pulang awal.
Perasaan cemas tidak dapat aku bendung apabila Abang Yus mula menghidupkan
enjen kenderaannya. Aku hanya terpaku di depan pintu rumah teres kami
sambil memerhatikannya. Apabila kereta protonsaga baru sahaja melepasi
pagar rumah kami, kereta itu terhenti. Suamiku keluar dan bergegas ke
arah ku. Aku telah dibesarkan dalam keluarga yang mengamalkan adat-adat penuh
kepercayaan tradisional. Ibu selalu berpesan jangan sekali-kali berpatah
balik kalau sudah melangkah keluar rumah kerana itu mungkin membawa ‘keburukan’.
Degupan jantungku bergoncang kuat. Rasanya suami yang menghampiriku itu
pasti dapat mendengarnya. Abang Yus melemparkan senyuman sambil menundingkan
jari telunjuk ke arah sepatunya. Setelah menukar sepatu sebelahnya pada warna hitam, abang Yus terus melangkah pergi. Aku menghela nafas panjang. Aku sangkakan apa tadi... apakah itu satu petanda juga? Petanda apa...? Hatiku penuh resah melepaskan suamiku pergi pagi itu. Segala perbuatanku pagi ini seperti tidak kena. Aku amat terganggu, aku cari-cari puncanya. Tompok, kucing yang sering aku belai apabila ditinggal keseorangan begini, tiada pula di sisi bagi menemani keresahanku. Tiba-tiba ingatanku kembali kepada mimpiku semalam. Mungkin inilah puncanya? Begitu jelas di balik mindaku ini. Sebatang daripada gigi ku telah patah tanpa sebarang sebab. Aku terkejut daripada mimpi dengan keadaan yang berpeluh dan penuh tanda tanya. Perasaanku hanya reda kembali setelah mengerjakan solat subuh.Tetapi setelah itu... Pagi ini aku mencari-cari erti mimpi yang telah menyebabakan keresahanku sepanjang hari. Biasanya aku tidak peduli tentang mimpi-mimpi yang ku anggap sebagai mainan tidur sahaja tetapi, mimpi ku semalam dirasa perlu kumengertikan. Ingatanku mengimbas kembali kepada arwah nenek yang memang gemar dan pandai menafsir mimpi. Ramai juga yang datang berjumpa nenek semasa hayatnya masih ada dan nenek yang mewarisi keahlian menafsir mimpi dari moyangku pula sering memberikan tafsiran yang agak tepat. Antaranya yang masih terngiang-ngiang di ingatanku ialah apabila bermimpi di patuk ular, ia membawa erti si dara akan dipinang orang. Apabila perahu hanyut di lautan, akan bertemu ajal bagi yang bermimpikannya dan apabila bermimpi patah gigi sebatang... Ah! Tidak sanggup aku mengingati erti bagi mimpiku ini. Tetapi, aku tidak dapat membohongi diriku ini. Kini ku tahu apakah yang menyebabkan kerungsingan di hati. Dapatkah aku menahannya daripada berlaku? Dapatkah aku melawan takdir? Setengah jam lagi Manja akan pulang dari sekolah tetapi Tompok masih belum muncul-muncul juga. Tidak pernah Tompok menghilangkan diri sebegini lama. Biasanya ia akan pulang juga untuk meratap makanannya. Namun wiskers yang telah ku siapkan sejak pagi lagi tidak langsung dijamahnya. Manja pasti akan bertanyakan Tompok. Apa yang harus aku katakan kepadanya? Secara tiba-tiba sahaja ingatan ku menjelajahi pengalaman pahit kami sekeluarga semasa nenek kehilangan suami yang dicintainya. Datuk meninggal dunia secara mendadak akibat terhantuk pada simen setelah terjatuh di bilik air. Sehari sebelum kejadian itu, nenek telah bermimpi tentang dua batang giginya patah. Bagi nenek, itu merupakan petanda kejadian malang yang bakal menimpanya. Apakah aku juga akan menghadapi kehilangan yang serupa? Nauz’ubillah! Istifarku memanjang. Aku terus mencapai sekaki payung sebagai pelindungku dari mentari yang terik di luar. Aku ingin menjemput Manja di sekolah. Belum sempat aku melangkah keluar, telefon di ruang tamu berdering. Jantungku berdegup kencang. Inikah panggilan yang bakal menghancurkan hatiku? Apakah aku akan menerima berita buruk? Ya Allah ya tuhan ku. Selamatkanlah suamiku. Aku terpaku di kerusi panjang di ruang tamu setelah usai menjawab panggilan. Effendy, rakan sepejabat suamiku telah menghubungiku kerana ingin bertanyakan tentang Yusri yang katanya tidak hadir hari itu.Ya Allah, apakah yang telah terjadi kepada suamiku? Tanpa ku sedari, terlerailah butiran mutiara membasahi pipiku. Bukan, bukan aku meratapi suamiku kerana belum tahu duduk perkara yang sebenar. Sebaliknya, aku melepaskan sebak keresahanku yang kini bertukar menjadi kebimbangan yang tidak mungkin dapat ku bayangkan menerusi pancaindera kurniaan illahi. Aku rasakan kekerdilan ku sebagai insan yang serba kekurangan dan sentiasa memerlukan pertolonganNYA. Aku terus mengesat air mataku dan menuju ke sekolah untuk menjemput Manja. Setelah aku pasti Manja telah nyenyak tidur (Manja telah menangis kira-kira satu jam apablia usaha kami menjejak Tompok di kawasan kejiranan rumah kami, menemui jalan buntu), barulah aku cuba sekali lagi menghubungi suamiku melalui alat kelui dan telefon bimbitnya. Masih tiada jawapan. Niat di hati, ingin ku tanyakan kepada ibu mentuaku. Mungkin suamiku berada di sana tetapi aku batalkan niatku itu kerana suamiku tidak pernah pergi ke rumah ibunya tanpa memberitahuku terlebih dahulu. Kalau aku bertanya kepada ibu mentuaku, pasti dia akan berasa cemas sebab tidak pernahpun kami selama lapan tahun lalu, tidak mengetahui pergerakan antara satu-sama lain. Sebaliknya, aku menghubungi Effendy di pejabat suamiku dan menyatakan keresahanku. Aku minta dia membantuku. Di manakah suamiku berada? Kini, aku benar-benar cemas. Apakah ada sesuatu perkara buruk telah berlaku? Selepas solat magrib, aku berniat untuk menghubungi setiap hospital di Singapura. Mungkinkah suamiku terlibat di dalam kemalangan jalan raya? Walaupun belum menjamah sembarang makanan sehari suntuk, aku sedikitpun tidak berasa keperluannya untuk makan. Air mataku terus tergenang tanpa diundang. Manja mula bertanyakan ayahnya yang biasanya telah pulang pada waktu begini. Aku hanya memberitahu puteri ku itu bahawa ayahnya terpaksa bekerja lembur. Manja masih mencari-cari Tompok. Beberapa ketika, anakku menangis kerana tidak menemui kucing kesayangannya itu. Dalam sedu-sedannya, Manja memanggil-manggil Tompok. Apakah yang telah berlaku pada keluargaku? Kucing kesayangan menghilangkan diri dan suami langsung tiada berita. Aku tidak dapat menahan rasa. Firasatku begitu kuat menyatakan suamiku telah ditimpa kemalangan atau mungkinkah dia sudah... Aku terus mencapai gagang telefon dan menghubungi adik ku, Zainal. Aku memintanya datang ke rumahku segera. Ada perkara mustahak yang ingin aku bincangkan dengannya. Aku sangat-sangat mengharapkan bantuannya. Manja aku tidurkan awal hari itu. Mungkin kerana terlalu letih mencari Tompok sepanjang petang tadi, mudah Manja melelapkan matanya. Kemudian, aku mula menghubungi pihak hospital dan bertanyakan kalau-kalau suamiku terlibat dalam kemalangan jalan raya. “Assalamualaikum!” Abang Yus tercegat di depan pintu. “Abang!” sahutku penuh kesyukuran. Aku berlari ke arahnya dan terus memeluk suamiku erat. Tanpa sebarang ucapan, kedengaran pula esakan kecil ku menyelubungi ruang tamu rumah dua tingkat kami. Abang Yus membalas pelukanku seraya bertanya, “Eh, kenapa ini? Macam dah lama tak jumpa aje.” Belum sempat aku menjawapnya, “Assalamualaikum! ” “Waalaikumsalam.” Aku dan suamiku menyambut salam dari muka pintu serentak. Kedua-duanya, Zainal dan suamiku Yusri berpandangan dengan penuh tanda tanya. Setelah aku berasa agak tenang, aku pun menyuarakan kebimbanganku tentang kegagalan abang Yus hadir di pejabat hari itu. Tambahan pula suamiku tidak menjawab panggilan-panggilan yang ku buat menerusi alat keluinya mahupun menerusi telefon bimbitnya. Dengan iringan tangisan kecilku juga aku bertanya mengapa suamiku tidak menghubungiku apabila terpaksa pulang lewat. Suami tercinta terus memegang erat jari-jemariku; tanda maaf, simpati dan kasihnya terhadap diriku. Yus menginsafi diri apabila menyedari bebanan perasaan yang terpaksa ku tanggung kerana menantikan khabar berita tentang dirinya sepanjang hari. Dengan nada yang penuh kesal suamiku memohon maaf sambil menjelaskan apa yang telah terjadi pada dirinya. Menurut abang Yus, semasa dalam perjalanan ke tempat kerja, dia telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Ia berikutan kelalaian seorang pemandu bas sekolah yang gagal menghentikan kenderaannya semasa lampu bertukar dari warna jingga ke warna merah. Bas tersebut telah tersasar dari garisan hentiannya lalu bertembung dengan sebuah lori. Kedua-dua kenderaan tersebut telah merempuh antara satu sama lain. Ini telah menjejas beberapa buah kenderaan lain yang berada di belakang kenderaan-kenderaan yang terlibat. Kereta suamiku yang berada betul-betul di belakang bas nyaris-nyaris menyondol belakang bas sekolah. Mujurlah Abang Yus cepat memberhentikan keretanya. Walaubagaimanapun kereta abang Yus mengalami kerosakan kecil akibat rempuhan bahagian depannya. Sebab itu Abang Yus terpaksa pulang dengan menaiki teksi. Kereta protonsaganya terpaksa di bawa ke bengkel. Semasa rempuhan tersebut, kedua-dua alat kelui dan telefon bimbit yang biasanya diletakkan dalam laci bahagian depan kereta telah tercampak. Mungkin ke bahagian belakang kereta, kesan dari hentakan yang kuat. Abang Yus tidak perasankan hal ini. Dalam keadaan kelam kabut itu, abang Yus telah membantu mangsa-mangsa yang terlibat, khususnya lima belas orang kanak-kanak sekolah yang meraung-raung ketakutan. Mujurlah tiada nyawa yang terkorban dalam kemalangan tersebut. Abang Yus telah memberitahu majikannya tentang hal ini menerusi setiausaha peribadinya kerana majikan suami ku itu tidak masuk ke pejabat hari itu. Abang Yus telah cuba menghubungiku di rumah, kira-kria jam satu tengahari tetapi tiada jawapan. Mungkin pada waktu itu, aku keluar menjemput Manja. Setelah selesai membuat laporan di balai polis, abang Yus telah sekali lagi cuba menghubungi ku, kira-kira jam empat petang untuk memberitahuku dia tidak dapat pulang awal hari itu tetapi masih tiada jawapan. “Oh, Ita dan Manja telah keluar mencari Tompok. Manja asyik menangis,
tanyakan si Tompok. Sampai sekarang Tompok Abang Yus hanya sampai di pejabatnya pada jam lima petang dan ramai di antara rakan sekerjanya telah meninggalkan pejabat kerana menghadiri mesyuarat di jabatan lain, termasuk Effendy. Banyak tugas suamiku yang penting belum diselesaikannya. Abang Yus yang memang terkenal sebagai seorang yang tekun bekerja, terus memulakan tugasnya. Dalam kesibukan itu, dia terlupa untuk cuba menghubungiku. Dia tidak menyangka aku di dalam keresahan yang amat hebat. Lega hatiku mendengar penjelasan suamiku. Adikku Zainal, tersenyum kambing dan bersyukur kerana tiada apa-apa malapetaka telah menimpa keluargaku. Sambil memerhatikan ku, abang Yus bertanya dengan lembut, “ Biasanya, Yang tenang sahaja kalau abang tidak telefon. Yang
kan tahu tugas abang memerlukan banyak komitmen dan tumpuan sepenuhnya.
Mengapa hari ini..?”
“Kakak ini, dalam zaman moden begini pun masih percayakan perkara-perkara tahyul begitu?” Aku dan Yusri tertawa kecil. Jauh di benak hatiku, rasa syukur tidak terhingga kerana suami tercinta selamat kembali ke pangkuanku. Tiba-tiba... “Pakcik ! Makcik ! Tompok dah mati! Tompok dah mati!” tercungap-cungap Alfian, anak jiran kami menerpa di pintu yang terbuka. Tompok di langgar motosikal!”
|
||||