“Selamat berangkat hajah! Bertuah betul kau, Su. Yang ini masuk kali ke berapa? Tujuh ke enam ya?”

“Alhamdulillah, masuk yang ini, dah lima kali aku menunaikan umrah dan dah tiga kali menunaikan ibadah haji!” jawab Hjh Sumira ringkas.

“Aku ni Su, dah lama betul teringin berkunjung ke rumah Allah tetapi duit aku tak pernah berkecukupan. Ada sahaja aral yang melintang.”

“Sabarlah Salmah, doa sahajalah banyak-banyak kepada Allah agar dirimu dijemput ke sana suatu hari nanti.”

Mereka bersalam-salaman. Makcik Salmah tidak lupa meminta Hjh Sumira agar menyeru namanya di makam Rasulullah agar dirinya diberi keringanan ke Mekah. Makcik Salmah sememangnya dah lima tahun berharap dapat melihat Ka’ba tetapi...nampaknya giliran makcik Salmah belum tiba lagi.

Hjh Sumira telah bersama-sama Reymino’s Travel untuk membantu Ustazah Jumayah iaitu pembimbing tetap bagi jemaah wanita. Hjh Sumira mendapat kepercayaan ustazah Jumayah dan sekaligus Reymino’s Travel setelah empat kali berturut-turut mengerjakan ibadah umrah dan haji bersama-sama ustazah Jumayah dan sering kali pula membantu jemaah-jemaah wanita yang lain semasa di Mekah. Pengetahuan Hjh Sumira tentang ibadah yang meliputi haji dan umrah memanglah hampir setanding dengan ustazah Jumayah kerana selama hampir tujuh tahun yang lalu Hjh Sumira begitu tekun mengikuti kelas-kelas bimbingan ustazah Jumayah.

Sesampai sahaja rombongan yang mengikuti Reymino’s Travel di Tana’im, mereka diingatkan agar menjatuhkan niat umrah sebelum masuk ke tanah haram. Seramai empat belas orang jemaah wanita di bawah jagaan Hjh Sumira. Ini merupakan kali pertama Hjh Sumira dilantik oleh pihak Reymino’s Travel sebagai pembantu pegawai dalam menguruskan jemaah yang ingin menunaikan ibadah umrah bersama-sama ustazah Jumayah. Hjh Sumira bertekad menjalankan tugas yang diamanahkan ke atasnya itu dengan sebaik mungkin.

“Ingat pesan ustazah, ya. Tatapan pertama kita pada Ka’ba memanglah saat-saat yang tak mungkin dapat digambarkan dengan kata-kata. Jangan lupa doa yang diajarkan tadi apabila kita menatap rumah Allah itu buat pertama kali. Lupakanlah segala urusan dunia. Berdoalah sebanyak mungkin. Minta keampunan dan keredhaannya. Di sinilah di antara tempat mendapatkan doa yang mustajab!” pesan Hjh Sumira kepada rombongannya apabila semuanya dah mula berkumpul di lobi hotel Brooj Aziz Khogger. Hjh Sumira rasa bangga kerana dapat membimbing kumpulannya itu. Semasa Hjh Sumira mengira jemaahnya sekali lagi, beliau terpandang jemaah termudanya yang berusia kira-kira dua puluh dua tahun, rapi bertudung berwarna biru laut. Sungguh ayu gadis itu tetapi hati Hjh Sumira ternyata terusik dek tentangan mata gadis tersebut. Ada sesuatu yang mengganggu fikiran Hjh Sumira, tetapi dia tidak dapat memastikan punca keresahannya itu. Siapakah gadis itu...?

Suasana tiba-tiba menjadi hening. Kedengaran sedu-sedan keinsafan makhluk tuhan. Semua yang hadir tidak mengira bangsa mahupun bahasa yang digunakan...semuanya ingin mendapatkan keredhaanNYA. Inilah kemuncaknya niat yang dibawa dari kota Singa. Banyak yang dicita-citakan semasa tatapan pertama di bawah lindungan Ka’ba kelak.

Setelah berkumpul berhampiran dengan kawasan Ka’ba, Hjh Sumira terus menundingkan jarinya ke arah Baitullah. “Itulah Ka’...”. Terputus! Terputus kata-kata itu kerana Ka’ba yang dimaksudkan oleh Hjh Sumira itu telah ghaib! Ka’ba telah hilang! Ka’ba telah hilang! Wajah Hjh Sumira menjadi pucat. Hatinya yang ghairah untuk mengelilingi Ka’ba bersama-sama rombongannya selaku ketua itu menjadi gunda. Segala keresahan terpancar di wajahnya yang tiba-tiba sahaja seperti hilang seri. Dada Hjh Sumira terasa begitu sebak. Urat sendinya seperti enggan berfungsi. Langkahnya tidak dapat menuju sasaran lagi. Nafasnya tersekat-sekat. Hjh Sumira hilang pedoman, hilang tumpuan. Badannya tiba-tiba lesu. Dia tidak dapat berdiri lagi. Hampir sahaja tubuhnya itu mencecah bumi. Cuma matanya sahaja terbeliak bulat...memandang ke arah Baitullah yang sepatutnya tersergam megah di depannya. Mujur seorang jemaah wanita rombongannya yang berada dekat di sisinya itu sempat memegang tubuh longlai Hjh Sumira dan terus memapahnya ke tepi.

Keadaan menjadi kelam kabut seketika. Bingung. Semuanya kebingungan. Tidak pasti apa yang harus dilakukan. Ketua rombongan yang diharap-harapkan telah rebah. Apakah sebabnya? Gadis ayu bertudung biru laut terus sahaja menuju ke arah rombongan ustazah Jumayah untuk mendapatkan bantuan. Nasib baik kumpulan tersebut tidak begitu jauh di hadapan. Kumpulan Hjh Sumira yang seramai empat belas orang itu mengeruminya. Keadaan Hjh Sumira seperti penderita pesakit angin ahmar. Tubuhnya tidak dapat digerakkan sama sekali. Wajahnya semakin pucat, persis saat-saat nazaknya seseorang insan ketika dijemput malaikat Izrail. Pelbagai kesangsian menusuk di jiwa. Apakah ini balasan perbuatan kita di dunia yang ‘ditunjukkan’ di tanah haram?

Ustazah Jumayah meminta semuanya bertenang. Beliau meletakkan kepala Hjh Sumira diribaannya dan menyuruh Hjh Sumira bersama-samanya mengucapkan dua kalimah syahadat dan sekaligus sentiasa mengingati Allah. Keadaan Hjh Sumira semakin tenat. Situasi yang mengharukan itu telah membuat beberapa orang jemaah rombongan tersebut menitiskan air mata. Sama-sama turut memanjatkan doa disertai dengan keinsafan nasuha. Ada juga yang turut berbisik... “Mungkinkah ajalnya sudah tiba?” Apabila bibir Hjh Sumira bergerak-gerak seperti ingin berkata-kata, Ustazah Jumayah segera merapatkan telinganya dekat pada wajah Hjh Sumira. Dengan suara yang tersekat-sekat, Hjh Sumira mengatakan, “..Ka’ba hilang... Ka’ba hilang! ” Mata yang hanya tertumpu pada lokasi Ka’ba di Masjidil Haram itu perlahan-lahan beralih pula kepada gadis ayu bertudung biru laut yang berada dekat dengan ustazah Jumayah. Mata mereka bertentangan buat kali yang kedua. Kedua-dua insan terpaku dalam satu pandangan yang dikunci rapat pada satu peristiwa kira-kira setahun yang lalu.

“Eh, perempuan jalang! Kau tak ada emak bapak ke? Maghrib-maghrib begini masih merambu ke sana ke mari.”

Semua mata tertumpu kepada seorang gadis yang berpakaian seksi. Baju ketat tanpa berlengan itu mendedahkan sebahagian besar dada gadis tersebut, sesungguhnya amat menjolok mata. Apatah lagi mini skirt yang berwarna merah, hanya menutupi punggungnya. Rambut yang telah diwarnakan keperang-perangan dan kulit tubuhnya yang kuning langsat itu hampir menghilangkan identiti kemelayuannya.


Yan, gadis yang dimaksudkan itu hanya mengetapkan bibirnya.


“Pakaian macam tak cukup kain aje. Buat malu orang Melayu dan agama Islam sahaja. Kau tak takut mati dalam keadaan begini ke?” sambung makcik yang menegur Yan apabila kata-kata yang diucapkan sebelumnya itu tidak mendapat sebarang reaksi. Wajah Yan yang sememangnya bermekap tebal bersesuaian dengan tujuannya untuk ke disko petang Sabtu itu, menjadi muram. Hatinya bak dibakar hidup-hidup. Rasanya ingin menjawab kata-kata pedas makcik itu tadi tetapi dibatalkan niatnya itu kerana enggan memburukkan keadaan. Baharu sahaja Yan ingin melangkah pergi dengan niat menaiki teksi sahaja bagi menuju ke destinasinya itu, makcik yang dicap kepo oleh Yan tu menyambung lagi, “Nak cari jantanlah tu. Entah-entah bukan dara lagi tak?”


Yan berasa amat terhina ditegur oleh seorang makcik yang tidak dikenali itu diperhentian bas dan dilihat pula oleh mereka yang secara kebetulan berada di situ.


Sudah melampau! Perasaan siapa yang tidak terhiris apabila maruahnya direndahkan dikhalayak ramai? Apakah begini cara orang yang beriman menegur makluk ciptaan Allah kalaupun dengan tujuan ‘baik’?


“Makcik. Tak perlulah kepo sangat tentang saya. Kubur saya, hidup saya,... tak perlu makcik ambil tahu. Kalau makcik tonggang tonggek bersujud kepada tuhan selalu pun dengan rasa riak tanpa keiklasan ...apa gunanya? Entah-entah tempat makcik lebih dahsyat daripada saya di akhirat nanti! Sekurang-kurangnya saya ni masih muda lagi. Masih ada masa untuk jadi baik. Tetapi makcik, entah esok entah lusa, bila kubur dah panggil dan sikap kepo dan riak itu tak sempat dibuang, agaknya makcik pun tak dapat cium bau syurga! ”

Yan lantang melontarkan kata-kata. Puas sungguh hatinya berbuat demikian walaupun dia sebenarnya berasa amat malu dan jengkel kerana mereka telah menjadi tumpuan orang-orang di perhentian bas, senja itu. Makcik yang menegur Yan tadi itu terus mendekati seorang makcik lain yang mungkin sebaya dengannya, cuba mendapatkan sokongan.

“Tengoklah kurang ajarnya budak tu. Saya ni... dah haji dan dah empat kali pergi umrah. Berani dia meletakkan hukum Allah pada diri saya pula. Dia tu, tahu bersolat ke tidak, agaknya!”

Pada waktu itu pula, sebuah teksi berhenti di depan Yan. Yan terus masuk ke dalam teksi sampil menghempas daun pintu.

Begitulah peristiwa yang menemukan Yan ( gadis betudung biru laut ) dan makcik ( Hjh Sumira) buat pertama kalinya. Mungkinkah masing-masing tidak pernah melupakan peristiwa tersebut? Mungkinkah masih ada perasaan dendam?

Tentangan mata yang tajam antara kedua-dua makluk ini tidak memerlukan sebarang bicara. Seketika kemudian, Hjh Sumira cuba menyatakan sesuatu kepada Yan tetapi keadaannya itu tidak mengizinkan. Hjh Sumira, menerusi gerak hatinya meminta maaf di atas kata-kata yang pernah diucapkan kepada Yan setahun yang lalu. Mungkinkah rasa bongkak terhadap segala amal ibadah yang dilakukan atas dasar penganut agama Islam tanpa keiklasan yang sejati telah menyebabkan dirinya itu tidak diterima mendekati Ka’ba! Hanya Allah yang maha mengetahui! Dengan linangan airmata, pandangan Yan semakin sayu kepada Hjh Sumira. Yan hanya mengangguk-anggukkan kepalanya sambil turut meminta maaf kepada makcik yang mungkin sebaya ibunya, kalau lah dia masih hidup lagi. Para jemaah yang lain hanya memandang kedua-dua insan ini menatap wajah antara satu sama lain tanpa sebarang bicara dengan penuh tanda tanya. Mata Hjh Sumira kembali ke arah Ka’ba. Dalam kekaburan, dilihatnya seakan-akan Ka’ba timbul semula dari permukaan bumi secara perlahan-lahan seperti mana perlahannya kedua-dua mata Hjh Sumira menutup erat.

“ Ka’ba dah ada...Ka’ba dah ada ! ” lafaz terakhir Hjh Sumira seperti berbisik.

Innalillahiwainalillahiroji...un.

 

Utama
.........................................................................................................................................................

© ROZANAH KASNAN, 2003

Rekaan ihsan MIXED MEDIA INDUSTRY