![]() |
|
|||
![]() |
||||
| |
||||
Jantungnya berdegup kencang. Surat yang sekian lama dinanti-nantikan itu telah pun di genggaman tapi... Hati Umar masih bimbang. Umar bimbang kalau-kalau dia menghampakan isteri, anak-anak, saudara-mara, teman-teman dan murid-muridnya. Tiga setengah tahun bukan jangka masa yang singkat. Meninggalkan isteri memikul tanggungjawab yang sepatutnya dikongsi bersama merupakan pengorbanan terbesar bagi mereka berdua. Anak-anak yang masih dahagakan belaian kasih seorang ayah terpaksa merelakan pemergiannya. “Abang, janganlah risau tentang anak-anak. Tahulah Ira menguruskannya.” Itulah kata-kata hikmat yang menjadi bekal bagi Umar apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga demi mencapai cita-citanya. “Apa khabar mahasistua?” Tersentak Umar apabila diterpa dari belakang. Tercegat di sisinya adalah Cikgu Murad. Cikgu Murad adalah bekas rakan sekerjanya tidak lama dahulu. Umar segera memasukkan sampul surat di tangannya itu ke dalam saku seluar. Dia tidak mahu diusik terus dengan nada sinis yang biasa terpancul dari mulut Cikgu Murad. Cikgu Murad tidak pernah penyokong tindakannya meninggalkan kerjaya walaupun buat sementara waktu demi mendapatkan segulung ijazah. Memang benar. Pada waktu itu, Umar seperti Cikgu Murad telah pun hidup agak mewah hasil bertugas sebagai pendidik. Wang gaji yang dibawa pulang telah pun mencapai empat angka. Kalau dikira bonus...alhamdulillah. Memang mewah. Sebab itulah Umar mampu beli sebuah rumah privet dan berkereta. “Alah, tak payahlah engkau susah-susahkan diri. Beri peluang pada yang muda-muda sahaja. Lagipun dalam usia kita yang hampir menjangkau 50 tahun ni, tentu janggal duduk di kelas-kelas kuliahkan? Entah-entah dah tak boleh masuk pelajaran!” Begitu tajam kata-kata Cikgu Murad kepadanya apabila Umar memberitahu tentang cadangannya melanjutkan pelajaran di seberang tambak sejurus selepas pihak pemerintah meluluskan pemohonan cuti belajarnya tanpa gaji. Walaupun Umar sering kali berasa agak tersinggung dengan kata-kata Cikgu Murad, dia lebih berasa hairan kata-kata tersebut diucapkan oleh seorang guru yang telah mendidik lebih 15 tahun. Seorang pendidik sepatutnya mendorong murid-murid untuk terus mengejar ilmu dan bukan sebaliknya. Tetapi, dia bukan guru Umar. Dia rakan sekerjanya. Usia mereka hampir sebaya tetapi prestasi kerja Cikgu Murad sering kali mengecewakan. Namun Umar menghormatinya demi pengalaman dan tugas murni beliau itu. “Macam mana dengan keputusan engkau? Pass ke tidak?” tanya cikgu Murad apabila Umar tidak menjawab pertanyaannya tadi. “Berapa banyak kau dah rugi, Umar? Kau bercuti tanpa gajikan? Kalau tak pass macam mana? Balik ke sekolah rendah lagi?”sambung Cikgu Murad lagi. Bertubi-tubi persoalan yang dikemukakan oleh cikgu Murad. Umar hanya tersenyum. Dia memaklumkan bahawa keputusan peperiksaannya itu, belum diterima lagi. Sebenarnya, keputusan sudah ada digenggammannya. Kalau tidak berselisih jalan dengan Cikgu Murad tadi, tentu Umar telah tahu apakah dia berjaya meraih ijazah atau sebaliknya.Umar tidak berani memberitahu cikgu Murad tentang surat yang baru diterimanya itu. Cikgu Murad yang sering kali mengingatkannya tentang ‘kerugian’ yang bakal ditanggung apabila bercuti tanpa gaji tidak perlu tahu bagaimana perasaannya ketika itu. Umar enggan memberi ruang kepada cikgu Murad untuk terus memperkecilkan cita-citanya itu. Memang benar bercuti tanpa gaji amatlah perit. Apatah lagi anak-anak Umar semakin membesar dan semuanya memerlukan pembelanjaan yang agak tinggi khususnya bagi menampung pelajaran mereka. Tapi Umar telah lama memikirkan hal itu. Dia telah membuat persiapan yang rapi. Isterinya Ira yang bertugas sebagai setiausaha telah bersedia mengorbankan sebahagian besar wang gajinya untuk anak-anak mereka berdua. Umar bersyukur mendapat isteri yang amat memahami keinginan dan cita-citanya. Setelah bersalaman dan memberi alasan kepada Cikgu Murad kononnya anak-anak menanti di rumah, Umar pun meminta izin meninggalkannya. Di tangan kirinya tergantung empat bungkus roti bom yang dipesan oleh isterinya untuk sarapan pagi itu. Semasa melepasi pintu pagar rumahnya tadi, Umar telah mengambil surat berdaftar dari pihak universiti. Rasanya ingin berpatah balik ke rumah untuk melihat keputusan peperiksaan yang amat mencabar itu tetapi dia enggan tergopoh-gapah...mungkin juga kerana Umar kurang yakin. Semalamam Umar tidak dapat tidur. Fikirannya runsing menantikan keputusannya itu. Apatah lagi apabila Muhammad (juga seorang guru yang bercuti tanpa gaji yang turut melanjutkan pelajaran bagi meninggkatkan kemahiran masing-masing dalam bahasa Melayu. Muhammad 10 tahun lebih muda daripadanya) menelefon dan memberitahunya surat akan sampai esok. Ingatan Umar mengimbau pula pada kata-kata seorang pembimbing semasa kelas tutorial yang ditujukan kepada pelajar-pelajar sepertinya (yang agak lanjut usia itu) yang mengikuti pengajian di universiti tersebut. Ada seramai 15 orang guru dari Singapura dan Umar merupakan mahasiswa yang tertua di kalangan mereka. “Wah! Tahun ini ramai betul anak-anak Goh Chock Tong yang diterima masuk ke universiti!” Pada waktu itu Umar tidak pasti apakah itu satu sindiran bagi anak-anak perantau (terpaksa ke seberang tambak bagi mendapatkan ijazah) atau ancaman kepada mahasiswa setempat kerana anak-anak Singapura memang telah terkenal di kalangan pensyarah dan pembimbing sebagai yang gigih berusaha dan sering kali berupaya mengecap kejayaan yang amat membanggakan. Apatah lagi kedua-dua buah negara pada masa ini sedang di landa masalah ikatan ‘persaudaraan’ antara keduanya. Bagi Umar, kata-kata itu adalah satu cabaran. Cabaran baginya yang digelar oleh cikgu Murad sebagai mahasistua untuk membuktikan otaknya belum berkarat walaupun sudah lebih 20 tahun beliau tidak menduduki peperiksaan. Sekadar menyiapkan kertas-kertas peperiksaan adalah, itupun untuk peringkat sekolah rendah sahaja. Namun azam Umar amat kuat. Obor keghairahannya bagi menggenggam segulung ijazah amatlah berbahang terutama apabila anak-anak yang semangkin meningkat ke usia remaja mengidolakannya sebagai bapa tauladan. Ini dikuatkan lagi dengan pencapaian beberapa pelajar sebelumnya (bekas guru juga) yang seringkali pula digelar sebagai cucu Lee Kuan Yew telah mencapai keputusan yang cemerlang. Mereka telah mengharumkan nama pulau kecil ini. Malah ada di antaranya merupakan pelajar terbaik bagi jurusan yang diikuti. “Kalau mereka boleh, aku pun boleh. Aku juga anak jati Singapura ! Tetapi...” Terkial-kial Umar menyiapkan tugasan yang diberikan oleh para pensyarah bagi memenuhi syarat menduduki peperiksaan setiap hujung penggal. Umar akur akan kebenaran kata-kata cikgu Murad tentang usia tua nya itu bakal menghambat kecerdasan otaknya menerima pelajaran yang baru. Kawan-kawan seperjuangannya, walaupun mengharungi beberapa kepayahan menyiapkan tugasan atau esei yang berpuluh-puluh muka surat itu, tidaklah terlalu memerlukan masa yang jauh lebih panjang sebagaimana yang diperlukannya. Malah antara mereka seperti Muhamamad, Razlin, Arif dan Firdaus masih sempat menjelajah kota KL pada hampir setiap hujung minggu. Pada masa yang sama, Umar terpaksa bertungkus-lumus menelaah pelajaran. Umar tidak mampu membiarkan masa berlalu begitu sahaja. Masa baginya jauh lebih berharga daripada emas.Masa adalah rahmat Tuhan. Umar bukanlah lembab tetapi itulah hakikatnya apabila mula dimamah usia. Maklumlah dah lama tidak perlu mengingati fakta-fakta serta bahan rujukan yang dibaca. Khususnya pada tahun ke tiga. Tahun yang penuh mencabar. Ada juga yang gugur di medan peperangan ini. Selain daripada kehilangan bapanya yang diserang sakit jantung secara mengejut, Umar juga berdepan dengan masalah kewangan apabila syarikat di mana isterinya bekerja terpaksa gulung tikar akibat kemelesetan ekonomi. Namun, alhamdulillah, isterinya hanya menganggur selama lima bulan sahaja sebelum ditawarkan pekerjaan baru dan wang pampasan yang diterima oleh Ira mencukupi keperluan sekeluarga. Umar masih ingat kepayahan yang benar-benar mencabar kekentalan azamnya menamatkan pengajian seperti mana yang telah dijadualkan. Latihan ilmiah yang diusahakannya bertajuk, ‘Mengapa anak-anak Melayu sukar menguasai bahasa ibunda sendiri,’ terbantut kerana kekurangan fakta yang dapat dijadikan sebagai akar penilaian dalam memberi huraian dan pandangan yang bernas. Terlalu banyak yang terpaksa dikaji dalam masa yang begitu singkat. Tubuh Umar yang dahulukan gempal, turut terjejas. Kalau dahulu seluarnya bersaizkan 48, kini hanya 38! Jadual pemakanannya tidak terjaga langsung. Umar terlalu sibuk mengusahakan kertas ilmiahnya itu sehingga lupa akan kepentingan menjaga kesihatan sehinggakan dia pernah rebah di dewan kuliah. Doktor menyatakan bahawa dia di dalam keadaan yang terlalu tertekan dan diarahkan berehat selama sebulan. Pada waktu itu, Umar menanggung segala kegetirannya sendiri. Isteri serta keluarga di Singapura langsung tidak diberitahu tentang masalah yang dihadapinya itu. Umar tidak mahu mereka turut bersusah hati kerananya. Dunia dirasakan seperti menghempit. Masa depan dirasakan telah mula malap. Semangat perjuangannya hampir punah. Namun Umar amat berterimakasih dengan kawan-kawan seperjuangannya. Mereka yang berpangkat adik kesemuanya itu seringkali mengunjunginya semasa di hospital dan sentiasa memberikannya perangsang. Mereka tidak mahu ada anak dari kota Singa yang tumpas di negeri orang. Alhamdulililah, Umar berjaya bangkit dan bertekad untuk terus berjuang. Dengan berbekalkan azam yang bercahaya semula, diteruskan tesisnya itu. Umar tidak segan-segan untuk mendapatkan bantuan para penyarah (ada diantaranya yang lebih muda dari Umar sendiri) bagi memastikan dia dapat menyempurnakan tugasan latihan ilmiah yang padat dan baik mutunya. Akhirnya apabila terbuku sudah makalah yang setebal 107 muka surat itu, Umar berasa amat puas. Kini hanya menantikan keputusannya sahaja. Walaupun tugasa yang dibuatnya itu menampakkan kematangan beliau sebagai seseorang yang pernah mendidik tetapi kertas peperiksaan yang lainnya turut memberi sedikit masalah pada Umar. Banyak juga perkara yang tidak dijangka-jangkakan telah ditanya sebagai soalan peperiksaan. Umar hanya bertawakal. Rasanya dia telah memberikan segala yang termampu. Semoga Allah meredhai segala usahanya selama ini. Semoga Allah memakbulkan doa yang dipanjatkan dalam setiap solatnya! Umar menarik nafas panjang. Mulutnya terus berkomat-kamit, beristifar meminta pedoman daripada Allah. Perlahan-lahan dia mengeluarkan sampul surat dari sakunya itu sejurus berada di dalam kereta. Dia ingin mengetahui keputusan peperiksaannya sebelum pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Umar sudah bersedia. Dia bersedia menerima sebarang kemungkinan. Umar pasrah. Jari-jemarinya mula merobek sampul surat yang telah agak ronyok itu. “Ah...! Aku berjaya!Aku berjaya! Syukur alhamdulillah!Ya Allah, syukur alhamdulillah!” Tanpa disedari, terpancul keluar butir-butir mutiara di pipi yang agak berkarat itu. Lega sungguh hati Umar apabila menatap keputusan akhir pengajiannya itu. Umar bukan setakat memenuhi syarat untuk menerima ijazah bagi pengajian bahasa Melayu tetapi dia berjaya meraih pangkat Kelas 1! Malam itu, seisi keluarga begitu asyik mendengarkan pahit manis Umar semasa menyempurnakan kertas ilmiahnya dahulu. Barulah kini isteri serta anak-anaknya tahu akan pengalaman yang dilaluinya semasa berada diperantauan. Selama ini mereka melihat bapa mereka biasa-biasa sahaja apabila pulang dari seberang. Ayah mereka ini ternyata hebat! Ayah mereka sememangnya ayah yang patut diteladani! “Mestilah hebat. Ayahkan anak Singapura. Anak Singapura tidak pernah mengaku kalah, walaupun sebagai MAHASISTUA!” usikan Aisyah, anak bongsu Umar dan Ira yang bakal menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘O’ hujung tahun ini. Telefon berdering. Umar mengangkat gagang telefon. Cikgu Aizad rupanya. Cikgu Aizad mengucapkan tahniah di atas kejayaan Umar. Entah bagaimana dia mendapat tahu tentang keputusan tersebut tidak sempat Umar menanyakannya kerana Cikgu Aizad ternyata mempunyai beritanya sendiri. “Murad. Cikgu Murad telah diberi amaran akan dibuang kerja kalau dia tidak meningkatkan prestasi kerjanya. Ada beberapa ibubapa yang tidak puas hati dengan cara beliau mengajar yang masih ditakuk lama. Itulah, pengetua telah beberapa kali menyuruh Murad ikuti kursus IT bagi kegunaan dalam kelas tetapi dia buat-buat tak endah sahaja. Dengarnya, pengajaran bahasa yang memerlukan beliau menggunakan komputer di dalam bilik darjah telah dilangkaunya sama sekali. Buat masa ini, gaji cikgu Murad telah dibekukan sekurang-kurangnya untuk 3 tahun akan datang,sampailah dia menunjukkan tanda-tanda yang lebih positif terhadap kerjanya,” cerita Cikgu Aizad lagi.
|
||||