| |
|
|
|
|
|
![]() |
|
|
|||
![]() |
|
||||
| |
|
||||
| |
|||||
|
Terhiris perasaan ini tatkala membaca ayat penutup editor akhbar ini dalam ruangan 'Pada Hemat Saya' yang tersiar pada 22 Mac lalu. Dalam seminar yang dibincangkan oleh editor, ada peserta seminar yang bertanya tentang kemampuan anak muda Melayu Singapura berbahasa Melayu. Sampai begitu sekali tanggapan orang terhadap kita. Mengapa jadi sampai begitu? Teringat pula tentang usaha badan-badan setempat melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan bagi meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat, khususnya pada sepanjang bulan bahasa yang diadakan setiap tahun. Apakah kesan sebenar terhadap kita semua? Perbincangan di bawah diharap akan dapat membuka hati kita dalam memikirkan sejauh manakah sebenarnya bahasa Melayu dapat terus melangkah, atau apakah kewujudannya hanya sekadar dipinggiran sehingga kemampuan kita menggunakannya secara berkesan dipertikaikan. Sebelum sebarang kesimpulan dibuat, mungkin kita perlu juga meneliti sejauh manakah kemampuan bahasa Melayu yang bakal dimartabatkan sekali lagi sepanjang bulan bahasa kelak, berfungsi sebagai wahana penyataan fikiran rasional dan ilmiah, serta menjadi wadah pengungkapan estetika, sekaligus dapat menjalankan tugasnya memperkatakan tentang pelbagai perkara dan bidang agar dapat sama-sama mengikis tanggapan negatif bahawa bahasa Melayu sebagai kurang kelas atau sebagai bahasa sekunder apabila dibandingkan dengan bahasa Inggeris. Moga-moga dengan perbincangan terbuka, kita tidak pula malu mengakui jati diri sebagai orang Melayu yang mempunyai cita-cita tinggi, iaitu memasyarakatkan bahasa Melayu baku! Menurut Mengantar Simanjuntak, dari segi penuturnya, bahasa Melayu menduduki tempat ke-enam bersama-sama dengan bahasa Perancis. 200 juta orang penutur yang mendiami kira-kira 30 buah negara dianggarkan menutur bahasa Melayu, termasuklah empat buah negara ASEAN iaitu Malaysia, Brunei Darulsalam, Indonesia dan Singapura, yang telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Kalau hakikat ini masih kurang meyakinkan kita untuk menggunakan bahasa Melayu tanpa rasa second class , dapatkah kita menafikan pula kedudukan bahasa Melayu yang sama tarafnya dengan bahasa Inggeris dari segi pemakaiannya di kawasan Asia Pasifik ini? Mungkin, ego kita sebagai golongan yang berpendidikan Inggeris, menjadi penghambat untuk kita menerima kenyataan ini atau memang kita saja berpaksikan barat? Bahasa mempunyai pertalian yang langsung sifatnya dengan pembangunan
insan telah diterima oleh semua tamadun manusia sejak zaman berzaman.
Biar daripada jurusan pandangan manapun, bahasa tetap menjadi salah satu
juzuk atau komponen penting dalam kebudayaan dan tamadun insan. “Dan mengajarkan kepadanya berbicara terang.” dan surah Al-baqarah, ayat 31 yang bermaksud, telah merujuk bahasa dalam konteks pengurniaan ilmu kepada insan. Jikalau bahasa dikelaskan sebagai ilmu permulaan dalam mencari ilmu-ilmu teras (fardu ain), dan ilmu-ilmu yang dicari (fardu kifayah), maka dapatlah kita duga pentingnya bahasa dalam membina pembangunan insan. Bahasa Melayu yang sememangnya terkenal dengan ciri-ciri kelembutan (asalkan tidak disalahguna) yang berakar umbi dari Timur dunia, tentu saja dapat memainkan peranan dalam menyatukan masyarakat Melayu, umumnya. Mungkin dengan slogan bulan bahasa tahun lalu iaitu ‘Masyarakatkan Bahasa Melayu Baku’, cita-cita murni, iaitu membina insan yang luhur melalui penyebaran bahasa di kalangan masyarakat penggunanya dapat disemai. Usaha membina suasana kekreatifan di kalangan masyarakat Melayu Singapura sekarang ini amatlah sulit, bukan sahaja kerana tiada kemampuan, tetapi lebih-lebih lagi kerana tiada kepercayaan dan keyakinan diri. Oleh sebab kita tidak dapat lagi mengharapkan bahasa kita ini berkembang melalui proses yang natural, yang alamiah, lantas terpaksalah kita melakukan tindakan yang artifisial, iaitu membinanya secara berencana. Malangnya, dalam meniti hidup yang kian canggih ini, ramai juga yang meremehkan soal bahasa, atau menganggapnya sebagai suatu kebiasaan semata-mata. Mungkin inilah juga antara sebab mengapa bulan bahasa tetap relevan dalam menyuntik kesedaran penggunanya. Sebenarnya, memasyarakatkan bahasa baku bukan satu fenomena khusus dalam bahasa dan tamadun Melayu saja, malah bersifat sejagat, iaitu berlaku dalam semua masyarakat yang maju. Bahasa Inggeris dan bahasa Arab misalnya, turut mempunyai ragam baku masing-masing. Dari itu, proses pembakuan yang masih giat dijalankan di Singapura ini sebenarnya merupakan lanjutan proses yang sedia berlaku..Pembakuan tidak patut dilihat sebagai matlamat akhir, sebaliknya sebagai usaha yang berkesinambungan untuk meningkatkan pemikiran, ilmu dan tamadun insan. Dalam kepesatan dunia memasuki alaf 2000 ini, pelbagai bidang ilmu baharu yang mewakili ilmu-ilmu terkini tumbuh bagai cendawan setelah hujan turun. Khususnya dari segi sains dan teknologi, perkembangan dunia teknologi maklumat bergerak secara dinamik dan terlalu pantas. Seandainya kita gagal menggarap bahasa mengikuti arus ini, akan tenggelam dan mungkin juga pupus di telan zaman. Jadi, di manakah kedudukan bahasa Melayu? Dapatkah bahasa yang diwar-warkan ini berdiri sama teguh dengan bahasa-bahasa lain apabila menjengah ke era IT? Mungkin rujukan terdekat adalah akhbar setempat. Secara kebetulan, satu-satunya akhbar berbahasa Melayu yang mendapat pengiktirafan negara sekaligus bangsa Melayu adalah Berita Harian / Berita Minggu. Peranan akhbar dalam mengembang, memperkukuh serta menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu tidak perlu dipertikaikan. Malah, para pembaca yang mungkin sahaja terdiri daripada para pelajar, pendidik, karyawan, pemimpin-pemimpin negara mahupun para suri rumah akan menjadikan akhbar sebagai rujukan utama apabila ingin mendapatkan kepastian tentang pelbagai perkara. Ini termasuklah pola / struktur ayat bahasa Melayu dan leksikal yang digunakan dalam mengetengahkan berita-berita terkini.
|
|
||||