| .................................................................................................................................................................................................................. |
|
|
BAPAK Bapak sudah tua. Umurnya sudahpun menjangkau 82 tahun. Walaupun begitu, badan Bapak seakan seseorang yang berumur 60-an. Bapak gemuk jugak, walaupun beliau tidak kuat makan. Cuma silapnya, setelah makanmalam selepas solat Isyak, Bapak akan menonton TV untuk setengah jam dan terus membiarkan badannya menjamah tilam tiga lapis. Bukannya Bapak malas. Oh, jauh daripada itu. Bapaklah orang yang pertama yang akan menyahut kebangkitan subuh. Seawal 4 pagi, Bapak sudah bangun dan terus membersihkan jasad. Selepas itu, Bapak akan bertahajjud sehinggalah masuk waktu solat subuh. Kemudian, Bapak akan berwirid, berzikir dan membaca kitab suci Al Quran sehingga 6.30 pagi. Pada waktu itu, Bapak akan memandikan pula tanamannya yang berderet di korridor rumah. Itulah kebanggaan Bapak dan juga sekeluarga. Pokok menghijau dan subur itu selalu saja menjadi tarikan sesiapa yang melewati flat kami. Bapak menjaga tanamannya sebagai menatang minyak yang penuh. Bapak akan senantiasa gusar setiap minggu bila korridor rumah selalunya lebih sibuk daripada biasa dengan lalu lalangnya kanak-kanak kecil yang bermain di depan rumah. Bapak khuatir kalau-kalau ada kanak-kanak yang secara tak sengaja terlanggar pokok dan bunganya. Walaubagaimanapun, Bapak tidak pernah menyuarakan kegusarannya atau melarang mereka daripada bermain di situ. Bapak selalu bersikap toleran. Bapak tidak tinggi, hanya setakat setengah daripada kepalaku. Muka Bapak bulat bak bulan penuh mengambang dengan kedut menghiasi ruang matanya. Mata Bapak kecil dan sudahpun diselaputi keputihan. Namun begitu, penglihatan Bapak, walaupun tidak jelas, amat baik bagi seseorang yang sudahpun melewati usia 80 tahun. Bapak amat berisi; tangan dan kakinya amat keras. Bila ditanya akan kesihatannya, Bapak selalu mengangkat kedua lengannya seakan seorang bina badan dan berkata, "Inilah (Hulk) Hogan!". Aku selalu tersengih mendengar seloka Bapak. Bapak merupakan seorang pendatang hampir enam dekad yang lalu. Beliau tiba sehelai sepinggang dan seorang diri di lautan Singapura daripada Jawa, Indonesia. Bapak hidup susah; beliau tidak berpelajaran tinggi, hanya setakat mengenali beberapa huruf dalam kesemua abjad yang ada. Beliau tidak tahu bertutur bahasa Inggeris, namun beliau fasih dalam bahasa Jawa dan Melayu. Namun begitu, Bapak pandai mencari makan dengan mengerjakan pelbagai kerja lebur yang berat-berat. Bapak sudahpun melalui kedua-dua perang dunia. Bapak telah merasai peritnya hidup menumpang dan telah menjamah akibat peperangan. Kalau Bapak menceritakan mengenai kehidupannya semasa Singapura ditakluki Jepun, aku tidak pernah jemu mendengar. Walaupun sudah lanjut usia, ingatan Bapak masih kuat. Hasil perkahwinannya dengan Mak yang jauh lebih muda, Bapak dikurniakan ramai anak - seramai lima lelaki dan enam perempuan. Waktu itu, kehidupan di Kampung Paya amat susah. Apatah lagi, Mak dan Bapak tidak berpendidikan. Bapak selalu menceritakan, adakalanya, tiada makanan di rumah. Beliau terpaksa mencari makanan di merata tempat. Pernah satu hari, Bapak menjumpai segenggam taugeh di dalam longkang. Dikaupnya taugeh busuk itu, lalu dicucinya sehingga bersih. Kemudian, Mak pun menggoreng taugeh tersebut untuk mengisi perut anak-anak Bapak yang lapar. Selalunya, santapan kami adik beradik adalah sepinggan nasi yang bercampur dengan air garam. Disebabkan kehidupan yang sempit, apabila aku dilahirkan, ada orang yang mensyorkan agar aku diserahkan kepada sepasang suami isteri muda untuk dijadikan anak angkat. Aku tidak ingat, adakah Mak setuju dengan cadangan itu tetapi yang jelas, aku tahu bahawa bila Bapak pulang pada hari itu, dia menentang keras cadangan tersebut. Aku masih ingat lagi kata-kata Bapak - "Aku masih mampu memberi anakku makan!!". Amatlah kecewa pasangan suami isteri itu yang memang sudah lama menantikan kelahiranku. Bapak sensitif orangnya - dia sedar akan kekecewaan mereka. Beliau pun menawarkan agar mereka menamakanku. Itulah sebabnya namaku agak berlainan sedikit dengan nama kakak-kakakku yang lain. Aku amat bersyukur dengan tindakkan Bapak melarang keras cadangan orang kampung pada hari itu. Sebabnya, aku telah berpeluang menjalani hidup disamping Bapak yang aku anggap wira dalam melalui perit genting kehidupan. Bapak, beserta dengan Mak, memastikan bahawa kesemua anak-anaknya berpelajaran. Aku masih ingat lagi, Bapaklah yang menghantar dan mengambilku dari 'sekolah makan' dulu dengan basikal tuanya. Setiap kali waktu pulang tiba, aku akan mencari-cari wajah Bapak di celah tingkap kaca. Alhamdullilah, berkat Ihsan Illahi dan doa ibubapa, kesemua anak Bapak (kecuali seorang yang meninggal dunia pada usia yang amat muda) boleh dikatakan hidup sihat dan tidak perlu pula mencari makanan di longkang! Ada diantara anak Bapak yang berpelajaran tinggi, sehingga menjejak ke universiti luar negeri. Cucu-cucu Bapak, yang seramai 23 orang, pun ada yang menampakkan kecerdikkan masing-masing. Setiap kali aku melihat Bapak, hatiku menjadi sayu. Bukannya sedih...tetapi bangga. Aku bangga mendapat seorang pemimpin keluarga seperti Bapak. Bapak amat penyabar. Bapak tidak banyak bercakap dan Bapak mudah tersenyum. Bapak, yang senantiasa dengan kopiah hajinya, tekun beribadat. Oleh kerana Bapak memulakan hidup di Singapura seorang diri, Bapak amat berdikari, walaupun dalam usia senjanya. Jika Bapak jatuh sakit, selagi Bapak dapat menahan kesakitannya, Bapak tidak pernah bersuara. Prinsip Bapak, aku tahu, adalah selagi beliau dapat menahan kesakitannya, akan ditanggungnya sendiri. Bapak tidak mahu menyusahkan Mak dan anak-anaknya. Bila aku saksikan cinta Bapak terhadap Mak dalam usia senja mereka berdua, tidak dapat aku nafikan akan sifat penyayang Bapak. Oleh kerana aku seorang saja yang masih diam dengan Mak dan Bapak, aku amat rapat dengan mereka berdua. Sakit pening dan suka duka mereka, aku merasai bersama. Aku selalu bergurau dengan Bapak - ada kalanya, aku panggil Bapak "Darling", "Daddy" dan juga "Father". Mak pula akan ku panggil dengan "Bonda", "Sweetheart" dan "Mother". Sebagai anak muda, aku ada juga keluar rumah untuk rekreasi. Mak dan Bapak jarang melarang, sebab aku sedar akan tanggungjawabku sebagai seorang anak dan sebagai seorang muslimah. Aku pun tidak pernah pulang lewat dan juga sebelum aku keluar rumah, aku akan menyediakan dulu tilam tiga lapis Bapak. Mak dan Bapak percayakanku. Aku bersyukur dan tidak akan aku meracuni kepercayaan dan kebebasan yang diberikan. Namun, ada kalanya, Bapak akan menyoalku jika aku keluar lebih kerap dari biasa, selalunya pada musim cuti sekolah. Bapak tahu aku sudahpun berpunya dan beliau pun sudah bertemu dengan jejaka pilihanku. Bapak dengan selamba berkata, "Keluar lagi? Kahwin sajalah!!" Walaupun Bapak bertutur sedemikian, aku tahu Bapak hanya bertutur dibibir saja. Bapak tahu aku masih menagihkan ilmu pengetahuan dan belum lagi terbuka hatiku untuk mendirikan rumahtangga. Itu sebabnya aku berhenti bekerja dan menyambung pengajianku pada usia yang sepatutnya aku sudah bergelar isteri dan ibu. Namun,
walaupun Bapak pernah menyuarakan keinginannya untuk melihat aku diijabkabulkan
semasa hayatnya masih ada, beliau tidak pernah mendesak. Itulah Bapak
- seorang hamba Allah yang dikurniakan dengan sifat-sifat yang mulia -
penyayang, penyabar dan tekun beribadat. Sungguh bertuah Mak mempunyai
suami yang bersifat sedemikian dan sungguh bertuah aku mendapat seorang
ketua keluarga seperti Bapak. Walaupun Bapak tidak kurang dengan cacat
celanya, sifat-sifat mulianya lebih menyerlah. Selain daripada keinginanku
untuk mendaki gunung pendidikkan seberapa tinggi yang termampu, telah
timbul satu lagi keinginan di sanubari ini - untuk mendapat jodoh sepert
Mak; iaitu untuk mendapat seorang suami seperti Bapak... Insya-Allah...
|