| .................................................................................................................................................................................................................. |
|
|
ANISA
Ka: Apa khabar, wahai ahli pimpinan ku? Salah satu daripada dua susuk yang lain menjawab... Wanita: Baik, alhamdullilah. Terimakasih. Yang lagi satu hanya menunduk dan mengganguk kecil. Ka: Apa yang menjadi jalan hidupmu selama ini, Wanita? Wanita tersenyum, menampakkan daya penariknya. Dia memandang tepat kepada Ka dan sambil menjeling ke arah susuk badan yang lagi satu, dia menjawab... Wanita: Saya mempunyai pelajaran yang tinggi, setinggi yang termampu oleh saya. Sejarah pekerjaan saya amat baik, dan saya mendapat kepuasan kewangan setiap akhir bulan. Semua yang saya miliki adalah atas nama saya sendiri, dan oleh kerana hidup ini adalah hidup saya sendiri, sayalah yang melahirkan undang-undang. Saya... Ka menyampuk... Ka: Anda hidup bersendirian? Maksudnya, anda berdikari? Berdiri di atas kaki sendiri? Wanita: Ya. Saya wanita yang berdikari, sesuai dengan perkembangan pesat duniawi. Saya mampu melakukan hampir kesemuanya sendiri. Saya tidak memerlukan siapa, melainkan izin dari Tuhan. Ka: Anda bahagia? Anda puas? Wanita: Ya. Tiba-tiba, susuk badan yang satu tadi mengangkat kepalanya. Dilemparkan pandangan yang sayu kepada Wanita. Wanita tersentak dengan pergerakan yang secara tiba-tiba dari susuk yang satu itu. Tapi, Wanita adalah seorang wanita yang kuat semangatnya, dia tidak mudah luntur dengan apa saja situasi. Mentelah lagi apabila dipandang hampir sinis dan simpati oleh susuk itu. Direnungnya kembali. Ka memerhatikan sambil membisu. Dia sudah menjangka apa yang sedang berlaku sekarang. Susuk yang lagi satu tidak akan dapat terima apa yang telah diluahkan oleh Wanita. Dia bersuara... Ka: Kenapa, Solihah? Mendengar suara garau tapi lembut Ka, Solihah menurunkan pandangannya. Sekali lagi, dia menundukkan kepalanya. Dengan suara yang lembut tapi jelas kedengaran, dia berkata... Solihah: Ana tidak setuju dengan Wanita. Ana rasa Wanita membohongi dirinya sendiri selama ini. Raut wajah Wanita berubah. Pergerakkan badannya seakan-akan mahu segera membela dirinya dari tuduhan melulu Solihah. Dengan pantas, Ka bersuara... Ka: Kenapa, Solihah? Kenapa anda berkata sedemikian? Solihah mengeluh kecil. Masih bertunduk, dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Solihah: Ana tahu. Ana faham akan peribadi Wanita. Beliau seorang wanita yang berpendirian tegas, teguh dan tidak mudah diketepikan. Ana tidak sangsi bila Wanita berkata beliau seorang wanita yang berdikari. Ana amat mengerti akan perjalanan hidup Wanita, di mana Wanita telah menangani setiap masalah seorang diri. Syabas, Wanita (Solihah mengangkat kepalanya dan memandang ke arah Wanita)...ana amat berbangga dengan semangat kuat ante. Tetapi, ana rasa ante berbohong sekiranya ante kata ante puas, ante bahagia...sebab ante belum lagi mengenal erti sebenar kepuasan dan kebahagiaan. Syaitan mula meniup api kemarahan Wanita. Perasaan marah mula menyirap dalam tubuh Wanita. Muka Wanita menjadi merah, bibirnya mengetap geram dan matanya menjadi kecil. Namun, Wanita juga adalah muslimah. Kehadiran Tuhan yang Esa senantiasa berlinggar di dalam sanubarinya. Imannya kuat dan sudah dibiasakan sejak dulu lagi, dia akan beristighfar setiap kali berhadapan dengan perasaan marahnya. Ka mengerti akan pergolakkan perasaan Wanita dan dia juga mengerti arah tujuan percakapan Solihah tadi. Dia membiarkan saja. Beberapa saat berlalu. Dengan suara yang tegas tapi lembut, Wanita bersuara... Wanita: Apa maksud awak, Solihah? Siapa awak untuk menentukan bahawa saya membohongi diri sendiri dan tidak tahu erti sebenar kepuasan dan kebahagiaan? Memang saya bahagia! Saya mendapat apa yang telah saya idamkan selama ini. Mentelah lagi, semua yang diperolehi oleh saya, saya usahakan dengan titik peluh saya sendiri. Tuhan Maha Kaya, Dia telah mengurniakan apa yang saya idamkan sekarang. Rata-rata, saya mempunyai semuanya - pekerjaan, tempat tinggal, minda cergas dan kesihatan. Wanita berhenti. Dia menarik nafas yang panjang dan menyambung kembali hujahnya.. Wanita: Saya bahagia, Solihah. Saya mampu hidup seorang, saya tidak memerlukan sesiapa lagi dalam hidup saya. Malah, orang lain yang memerlukan saya. Saya tidak pincang tanpa mereka tetapi mereka akan roboh tanpa saya. Itulah erti kepuasan dan kebahagiaan yang sebenar bagi diri saya. Solihah: Wanita! Benarkah apa yang ante katakan ini? Apa yang dimaksudkan dengan kepuasan ante? Wanita: Solihah, lihat dunia sekarang. Amat berlainan dengan yang lalu. Penuh dengan kemajuan dan cabaran. Dunia sudah semakin dewasa, dunia sudahpun disatukan dengan sarang labah-labah. Tetapi, saya tidak gentar dengan itu semua. Saya berani bersaing. Saya berani melihat ke hadapan dan saya berani gagal, Solihah. Saya realistik, saya tahu kemampuan saya. Dengan itu, saya puas, Solihah. Saya dapat menyaingi kemajuan dunia dengan kerja keras saya. Saya tidak tenggelam dengan apa yang menyelubungi dunia sekarang kerana saya berani menangkis tradisi lama kaum saya. Kerana apa, Solihah? Kerana saya tahu kemampuan saya. Saya puas kerana saya tahu tahap saya. Solihah terdiam mendengar penjelasan Wanita. Air mukanya tidak berubah, masih tetap memandang sayu terhadap Wanita. Ka berperanan pemerhati. Solihah: Itu kepuasan ante? Kepuasan duniawi semata, Wanita? Ante puas sebab ante rasa ante dapat menyaingi dunia yang cepat berputar ini? Ante puas sebab ante tidak tenggelam dan tunduk kepada tradisi kaum ante? Wanita: Ya. Solihah: Bagaimana dengan kebahagiaan ante? Apa yang ada dalam hidup ante yang memberikan kebahagian? Wanita: Saya bahagia sebab Tuhan tidak lokek dengan limpah kurniaNya terhadap saya. Saya bahagia sebab hidup saya tidak dijerat oleh undang-undang yang dimenterai oleh manusia. Saya bahagia sebab saya tidak memerlukan sesiapa dalam hidup saya untuk merasakan kebahagian. Semacam sengaja, Solihah mengeluh dengan kuat. Ka memerhatikannya. Solihah menundukkan kepalanya dan menggeleng-geleng sekali lagi. Semacam pasrah... Ka bersuara.. Ka: Adakah kerana sifat anda yang tegas, berani dan semangat berdikari yang kuat, anda telah menolak kehadiran mereka yang datang untuk menyempurnakan tugas semulajadi seorang wanita? Wanita terdiam. Melihat kelakuan Wanita, Solihah bersuara.... Solihah: Wanita, sekiranya apa yang ante katakan tadi adalah benar, kenapa ante berkecil hati bila ante tidak diendahkan? Kenapa setiap malam, ante berendamkan air mata kerana ante dicengkami kesunyian? Kenapa ada sifat naluri keibuan dalam jiwa ante bila ante terpandang seorang anak kecil...? Wanita tersentak mendengar kata-kata Solihah. Wanita: Tidak! Tidak! Saya tidak merasakan itu semua! Saya puas dan bahagia dengan apa yang ada sekarang dalam hidup saya! Saya tidak memerlukan sesuatu kehadiran seperti yang dimaksudkan oleh Ka tadi. Dengan suara yang amat sayu, Solihah berkata.... Solihah: Usahlah ante membohongi diri ante sendiri, Wanita. Ana faham akan apa yang ante hadapi sekarang. Ante rasakan bahawa ante sudah mampu untuk meneruskan perjalanan hidup ini tanpa bersandarkan kepada yang lain, bukan? Wanita semakin cemas. Tidak pernah dia dipersoalkan sedemikian. Selalunya, Wanita cepat berfikir untuk membidas kata orang lain. Entah mengapa bila Solihah berkata begitu, Wanita menjadi gamam.. Wanita: Err...err....mungkin betul kata awak, Solihah. Wanita berfikir sejenak. Solihah memandang Wanita. Dia tahu masih ada lagi yang mahu diperkatakan oleh Wanita. Sekali lagi, Ka berperanan pemerhati. Dengan suara yang perlahan, Wanita menyambung... Wanita: Mungkin, saya berkata sedemikian kerana saya belum lagi diketemukan suatu kehadiran yang lebih bersemangat dari saya. Saya belum lagi diketemukan kehadiran di mana saya dapat bersandar dengannya dan berharap dengannya. Wanita berhenti seketika. Bila dia menyambung kembali, suaranya kembali segar dan tegas seperti mula tadi... Wanita: Tetapi, itu tidak bermakna saya tidak puas dengan hidup saya sekarang! Solihah: Akan tetapi juga, ante telah melawan fungsi seorang wanita sekiranya ante masih dengan pendirian ante... Wanita: Apa maksud awak, Solihah? Solihah: Wanita, percayalah...kepuasaan dan kegembiraan yang sebenar-benarnya terletak kepada kesempurnaan pelaksanan seorang hamba terhadap fungsi dan tugasnya di dunia ini.. Wanita: Tapi, saya tidak lupakan Tuhan! Saya senantiasa berusaha untuk mendekatinya... Perbualan antara Solihah dan Wanita semakin rancak. Ka hanya membisu. Solihah: Benar. Tetapi, kenapa ante masih dihantui perasaan sunyi? Kenapa jauh di lubuk hati ante, perasaan sayu dan simpati diri masih melanda? Kenapa, Wanita? Tidakkah ante terfikir bahawa ini adalah kerana ante telah mengingkari dengan sengajanya apa yang seharusnya ante lakukan untuk menyempurnakan kehadiran ante di dunia Tuhan ini? Wanita: Tapi..tapi....saya..saya....ah! Solihah, awak tidak akan faham akan situasi saya. Sebagaimana yang saya katakan atdi, saya belum lagi diketemukan dengan kehadiran yang mampu mengapit saya, yang bersemangat lebih dari saya. Pendek kata, di dalam lautan manusia ini, saya belum lagi diketemukan dengan apa yang sekiranya tiada lagi, saya akan pincang dan pasrah tanpanya. Solihah: Usah salahkan takdir, Wanita. Ante silap sebenarnya. Sekiranya ante belum lagi diketemukan dengan apa yang boleh ante bersandarkan setiap masa dan dalam apa jua situasi, ante seharusnya merendahkan lagi tahap ante itu. Wanita: APA?!! Maksud awak, saya seharusnya membutakan mata terhadap kekurangan mereka? Kerana apa? Kerana saya lebih teguh?!! Solihah: Bukan, bukan kerana itu, Wanita. Lakukanlah kerana semata-mata untuk menyempurnakan fungsi awak di dunia ini. Apabila terlaksana tugas sebenar ante di dunia ini, barulah kepuasan dan kebahagiaan yang sebenar-benarnya akan menyinggah di dalam hidup duniawi ante. Percayalah.. Keadaan yang tadi kecoh dengan laungan suara sang anisa berhenti secara tiba-tiba. Anisa berdiam, masing-masing memikirkan apa yang telah diucapkan tadi. Beberapa minit kemudian, Ka berdiri dan berjalan keluar dari bilik itu tanpa disedari oleh sang anisa. Secara perlahan dan sayu, terdengar bacaan surah An-Nisa ayat 34 dari bilik tersebut.
|